kalamullah..

Friday, October 15, 2010

HALAQAH ILMI.. SATU SOLUSI..


SMART CIRCLE.. Satu kelebihan nuqaba' di INSANIAH adalah mereka semua digabungkan dalam satu usrah nuqaba' yang dinamakan SMART CIRCLE (SC).
Mungkin daripada pandangan pihak lain rasa terlalu banyak komitmen kerana perlu sertai banyak usrah. Walaubagaimanapun, harus kita fahami untuk mentarbiyah orang lain, diri sendiri perlu ditarbiyah, bahkan perlu berlipatkali ganda daripada mad'u.
Banyak isu-isu kampus yang SC kami bincang baru-baru ini, kes kawan2 yang tak laksanakan halaqah usrah, kemudian buat usrah bincang perkara tang tak berfaedah dan sebagainya.
Melihat kepada permasalahan sebigini, tidak perlulah rasanya kita menuding jari menyalakan orang lain, rasa-rasa mungkin sesuatu yang tidak kena pada diri kita hingga menyebabkan berlaku masalah sebegini. Diri ini rasa terpanggil untuk mengenalpasti apa sebenar faktor2 kawan2 lain rasa lesu dalam berusrah.
Antaranya dapat disimpulkan seperti berikut:
1) Kekangan masa: 'Jadual kami dan ahli usrah sentiasa ada pertembungan'
2) Tiada pengisian: 'Kami sudah blur, tak tahu apa nak disampaikan dalam usrah'
3) Tiada kesedaran kewajipan untuk melaksanakan usrah: 'Pegang je la sebagai naqib, just ta'aruf 2, 3 kali biar semua lepas syarat graduasi cukup.

Inilah antara beberapa fenomena yang dapat dikenalpasti antara punca situasi pelaksanaan usrah di INSANIAH. Solusi kepada permasalahan ini, jelas terang lagi nyata antara item penting yang perlu kita selami sebelum terjun ke bidang dakwah ialah yang utama letakkan kefahaman di barisan paling hadapan. Sepertimana yang digariskan oleh As-Shahid Al-Imam hasan Al-Banna dalam 10 rukun bai'ah, Al-fahmu yang pertama sekali. Jika, kita faham, serta jelas apa sebenarnya objektif yang kita bawa dan ingin perjuangkan tidak akan timbul pelbagai persoalan untuk kita menjalankan gerak kerja Islam.

Teman2 seperjuangan sekalian, tidakkah kita sedar yang jalan yang kita bawa ini adalah warisan daripada Junjungan besar kita Muhammad SAW. Apakah kita tidak rasa bersalah dengan Rasul kita kerana sikap kita yang ambil mudah amanah yang ditaklifkan kepada kita selaku umatnya. Adakah kita rasa terbeban dek pelbagai mehnah dan tribulasi yang dihadapi? Jika ini yang berada di sanubari kita, marilah kita menyoroti kembali perjalanan Sirah nabi SAW, baginda berlipat kali ganga ujian yang ditimpakan berbanding kita yang hanya sebesar zarah.

Rasa2 tak perlulah coretan panjang, sebagai solusi di sini ana berbesar hati berkongsi beberapa artikel yang mungkin berguna kepada semua untuk kita terus istiqamah berada di jalan ini.

Baca, hayati, renungi dan bertindaklah..


ARTIKEL 01: THAQAFAH NUQABA’

PENDAHULUAN
Penguasaan nuqaba’ terhadap cabang ilmu yang menjadi latar belakang dakwah dan tarbiah merupakan satu perkara yang amat penting dan menjadi landasan utama kepercayaan anggota usrah terhadap naqib mereka. Tajuk ini merupakan salah satu daripada beberapa tajuk yang amat penting apabila kita membicarakan perihal penguasaan para naqib terhadap ilmu pengetahuan. Tajuk ini amat berkaitan dengan beberapa topik yang lain seperti penguasaan watak dan keterampilan, penguasaan sahsiah dan penguasaan kepimpinan.

Kekuatan Nuqaba’
1.       Para nuqaba mesti mengetahui dan meyakini bahawa apabila saf pimpinan memberikan tanggungjawab kepada mereka untuk mengetuai usrah, hal itu merupakan satu kepercayaan yang besar. Oleh itu mereka hendaklah memiliki keyakinan diri dan tidak teragak-agak untuk melaksanakan tanggungjawab itu.
2.       Mereka mesti mempunyai kekuatan, bahawa dalam apa jua perbincangan. Selaku naqib mereka memiliki kata pemutus.
3.       Mereka mesti tidak boleh dikalahkan oleh tekanan keilmuan yang cetek, lantaran mereka sebenarnya telah memiliki ilmu. Oleh itu, kita selaku para naqib mestilah mempunyai teknik mencatat maklumat yang baik. Setiap ceramah yang kita dengar, kias ibarat yang kita terima, hendaklah disimpan di dalam fail maklumat yang baik dan tersusun. (Di sini Al Fadhil Ustaz telah memberi ulasan panjang lebar berkenaan sistem pemfailan, dan sebagai contoh, menyusun maklumat yang berkaitan di dalam satu folder dalam komputer atau di dalam fail yang tersendiri.)
4.       Mereka mesti menyedari bahawa bidang pengajian dan takhassus mereka sebenarnya boleh diolah untuk manfaat usrah dan dakwah. Oleh itu, mereka hendaklah mempelajari kemahiran dan teknik memanfaatkan kepakaran dalam bidang pengajian untuk kepentingan dakwah mereka.

THAQAFAH NUQABA’ YANG PALING MINIMUM
Berikut disenaraikan beberapa rujukan bagi membantu mengatasi masalah ketidakyakinan kepada diri sendiri untuk mengendalikan usrah.

BIL
SUMBER
ASPEK PENGUASAAN
RUJUKAN
01
Al-Qur’an
Naqib hendaklah tahu bacaan al-Qur’an yang betul. Mereka hendaklah mengetahui hukum tajwid yang minimum. Mereka sendiri hendaklah khatam al-Qur’an sekurang-kurangnya dua kali setahun.
Al-Mulakhas al-Mufid fi Ilm al-Tajwid karangan Al ustaz Muhammad Ahmad Ma’bad.
02
Tafsir al-Qur’an
Naqib hendaklah mengetahui asas penghantar kepada al-Qur’an.
-          Kunci Mengenal al-Qur’an tulisan Zulkifli Hj.Yusoff.
-          Tafsir Al-Azhar oleh Allahyarham Hamka.
03
Al-Hadith
Naqib perlu mengetahui maklumat yang minimum tentang pengantar kepada ilmu al-hadith.
Pengantar Ulum al-Hadith oleh Dr. Subhi Salih.
04
Sirah Nabawi
Elakkan diri daripada membincangkan aspek akidah seperti ilmu kalam dan falsafah secara mendalam. Sebaliknya firqah-firqah atau mazhab dalam Islam hendaklah anda ketahui.
-          Fiqh As-Sirah oleh Said Ramadhan al-Buti.
-          Fiqh Harakah oleh Abdul Hadi Awang.
-          Aqidah Islamiyyah oleh Sayyid Sabiq.
-          Muqaddimah Aqidah Mukmin oleh Abdul Hadi Awang.
05
Fiqh
Mengetahui asas tarikh perkembangan hukum dalam Islam dan juga pengantar kepada ilmu fiqh.
-          Sejarah Pembinaan Hukum oleh Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid.
-          Fiqh al-Manhaji oleh Dr. Mustafa al-Khin,
06
Tazkirah
Perlu mempunyai skop tajuk yang hendak disampaikan.
Boleh rujuk kepada siri buku karangan Nik Abdul Aziz Nik Mat seperti Tazkiyyah Jiwa dan Nafsu, Air Mata di Mahsyar dan Mati



ARTIKEL 02: REMAJA MUSLIM PERLU BINA JATI DIRI & KETRAMPILAN GLOKAL.

REMAJA adalah transisi usia antara kanak-kanak dan dewasa. Mereka adalah pewaris masa depan seluruh ummah. Banyak kisah daripada al-Quran dan hadis yang boleh dijiwai oleh remaja untuk diselidiki dan dicontohi. Antaranya kisah Nabi Zulkarnain.
Untuk mengetahui ciri kepemimpinan Islam yang dimiliki Nabi Zulkarnain kita boleh menyusri kisahnya yang dirakamkan di dalam surah Al-Kahfi. Namanya saja cukup gah dan hebat untuk kita dapat menilai siapa sebenarnya Zulkarnain. Maksud namanya ialah ‘dia yang mempunyai dua tanduk’ – disebabkan kekuasaannya yang melata dan merentasi benua Barat menjangkau ke Timur.
Dalam hal ini, Allah berfirman dalam surah al-Kahfi, ayat 84 bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada Zulkarnain di muka bumi ini dan kami memberikan kepadanya jalan bagi mencapai segala sesuatu.”

CIRI KEPEMIMPINANNYA YANG PERLU DITELADANI.

1)      TAKWA
Kekuatan pola takwa Zulkarnain tidak diganggu-gugat walaupun beliau mampu menundukkan pelosok dunia Timur dan Barat. Zulkarnain tidak mudah lupa diri dan berlagak seperti beraja di mata, bersultan di hati walaupun menguasai dunia. Dia tahu kedudukannya di sisi Allah Maha Pencipta. Hayati kata-katanya sebelum membina tembok pemisah penghadang Yakjuj dan Makjuj seperti di dalam ayat 95, surah Al Kahfi bermaksud : “Sesungguhnya apa yang dikurniakan Allah kepadaku adalah lebih baik (daripada pemberianmu)."
Begitu juga sikap Zulkarnain yang tidak berganjak atau goyah walaupun selepas menempa kejayaan dalam pembinaan tembok itu, seperti dalam surah sama, ayat 98 bermaksud: “(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: "Ini ialah suatu rahmat daripada Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar." Betapa tingginya darjah takwa yang terpahat di hati dan jiwa Zulkarnain.

2)      BERWAWASAN,
Mempunyai misi dan tujuan hidup yang jelas. Dalam surah al-Kahfi, ayat 87 hingga 88, Allah berfirman bermaksud : “Berkata Zulkarnain, Adapun mereka yang zalim, maka kami akan menyeksanya (yakni menghukumnya dengan tegas), kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya dan Tuhan akan mengazabkannya dengan azab yang dahsyat. Adapun mereka yang beriman dan beramal salih maka baginya pahala yang terbaik sebagai balasan dan kami akan titahkan kepadanya perintah yang mudah daripada perintah-perintah Kami.”
Berdasarkan ayat ini, wawasannya untuk menegakkan kebenaran dan keadilan serta memerangi segala bentuk kekufuran dan kemaksiatan seperti yang digariskan Allah. Sungguhpun Zulkarnain dikurniakan segala keperkasaan dan kebesaran, ia tidak begitu mudah memesongkannya daripada matlamat dan hala tuju wawasan yang terpahat di jiwanya.
Segala kekuasaan yang dimilikinya dianggap sebagai alat atau wasilah yang digunakan sepenuhnya untuk menegakkan kebesaran Allah. Kaedah ini diterapkan secara konsisten dalam setiap wilayah yang berada di bawah sayap taklukannya.

3)      BIJAK MENYUSUN STRATEGI
Setiap perkara untuk mencapai wawasan perlu dirancang dengan rapi. Bukan tindakan yang membuta atau ikut suka-suka. Dalam hal ini, surah al-Khafi mengulangi ayat yang bermaksud berikut: “(Zulkarnain) telah mengikuti satu jalan atau menggunakan pendekatan tertentu.” Sebanyak tiga kali iaitu di dalam ayat 85, 89 dan 92.
Apakah makna di sebalik penekanan itu? Ia untuk menegaskan bahawa bagi mendaki tangga kejayaan perlu kepada penyusunan strategi yang rapi, teliti dan halus. Mesti adanya pelan tindakan.

4)      BERFIKIRAN LUAS BERTERASKAN PANDANGAN GLOBAL.
Remaja perlu mempunyai kematangan berfikir yang menjangkaui tahap global dalam menghadapi globalisasi. Allah menyatakan dalam surah al-Kahfi, ayat 84 bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada (Zulkarnain) di muka bumi dan Kami telah memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu.”
           Remaja Muslim seboleh mungkin perlu mempunyai ketrampilan ‘glokal’. Jika diselidiki, budaya glokal bermaksud mempunyai daya dan kemampuan bertindak secara bijak pada peringkat setempat dengan mengambil kira ketepatan tuntutan secara global.
 Konsep ini sebenarnya menjadi pegangan negara Jepun sejak zaman Maharaja Meiji pada 1876 lagi, khususnya dalam kegiatan pertanian. Asalnya ia dipanggil ‘dochakuka’, istilah berakarumbikan kata kunci dalam bidang pertanian. Konsep ini diperkenalkan untuk amalan tani di negara itu. Berikutan itu kegiatan pertanian Jepun mengalami perubahan sehingga dapat melahirkan industri dan produk berkualiti yang mampu bersaing di peringkat domestik dan berjaya menembusi pasaran dunia.
            Justeru, sikap remaja Muslim perlu dicanai sehingga mempunyai jati diri tulen yang akan menyerlahkan kebaikan ciri Islam mereka di kalangan masyarakat tempatan.


5)      MAHIR BERKOMUNIKASI.
            Dalam surah al-Kahfi, ayat 93 hingga 94, Allah berfirman: “Hingga apabila dia sampai di antara dua buah gunung dia mendapati di hadapan kedua-dua bukit itu satu kaum yang hampir tidak dapat difahami perkataannya. Mereka berkata, “Wahai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj melakukan kerosakan di muka bumi.”
             Bayangkan jika seseorang pemimpin itu mampu memahami bahasa satu kaum yang hampir tidak dapat difahami perkataannya. Betapa hebatnya pemimpin itu? Bermakna, Zulkarnain juga seorang yang mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi.
             Untuk memahami sesuatu, maka seseorang itu mesti menjadi pendengar yang baik supaya dapat menentukan pelan tindakan yang perlu diambil sebagai ketua. Apatah lagi, kemahiran bertutur dan berpidato, petah berbicara dan pandai berhujah hingga dapat mematahkan tohmahan lawan.
            Maka, tidak hairan Zulkarnain dapat menakluki dunia dari ufuk Barat sehinggalah ke Timur.

6)      MAMPU MENGUASAI KECANGGIHAN TEKNOLOGI TERKINI.
          Kita harus kikiskan budaya’hanya lihat, guna dan tahu pakai dan menggantikannya dengan budaya mengetahui, mendalami, menyelidiki dan merekacipta sendiri. Sungguh jauh jarak perbezaannya di antara kedua-dua perkara itu.
Budaya berkemahiran sebegini memang dimiliki Zulkarnain dan jelas ditunjukkan di dalam surah al-Kahfi ayat 96 hingga 97 sehingga dapat membina tembok besar untuk membendung kemungkaran Yakjuj dan Makjuj.
            “Beliau berkata, Berilah aku potongan-potongan besi. Apabila besi itu sudah sama rata dengan kedua-dua puncak gunung itu, berkatalah Zulkarnain, Tiuplah (api itu). Apabila besi itu menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata, “Berikan aku tembaga yang mendidih supaya aku tuangkannya ke atas besi panas itu. Maka, mereka tidak mampu untuk mendakinya dan mereka juga tidak mampu untuk melubanginya.”

7)      INTI PATI / KESIMPULAN
         i.           -  Remaja perlu mempunyai kematangan berfikir.
       ii.            - Kikis budaya ’hanya lihat, guna dan tahu pakai sebaliknya dalami, selidik dan merekacipta sendiri.
- Seseorang mesti menjadi pendengar yang baik supaya dapat menentukan pelan tindakan.
- Remaja Muslim perlu menguasai kecanggihan teknologi terkini.







PENGERTIAN DAKWAH MENURUT ISLAM
Dari segi bahasa, dakwah bererti menyeru,memanggil sama ada kepada yang hak atau yang batil. Dalam istilah syarak ia membawa perngertian yang lebih khusus, iaitu menyeru atau memanggil ke jalan Allah.
Firman Allah yang bermaksud:"Katakanlah, inilah jalan (Deenku), aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) ke jalan Allah dengan hujjah yang nyata." (Surah Yusuf, 108)
Dalam Islam, melaksanakan dakwah adalah tugas pokok para Anbiya'. Malahan mereka dibangkitkan untuk berdakwah. Para Anbiya' tanpa berkecuali ditugaskan berdakwah kepada kaumnya, dan memang mereka diutuskan untuk menyeru kaum mereka, agar manusia beriman kepada Allah, beribadah kepadaNya, tidak mensyirikkanNya kepada sesuatu dan berpegang teguh kepada syariat yang ditetapkanNya.
Orang-orang yang beriman adalah mereka yang mentaati jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Maka mereka tidak akan meninggalkan tugas dakwah, kerana tugas ini tidak sepatutnya terpisah dari sifat mereka yang mengaku tergolong daripada kalangan kaum muslimin. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Siapakah yang lebih baik perkataanya daripada orang yang menyeru ke jalan Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk dalam orang-orang yang menyerah diri (muslimin)." (Surah Fussilat: 33)

DALIL-DALIL TUNTUTAN DAKWAH
Syarak menuntut dakwah dilaksanakan di atas beberapa sebab, antaranya:
1)      Untuk menyelamatkan diri dari azab Allah (al-A'raf: 164-165)
2)      Untuk menyelamatkan Ummah (al-Anfal: 25, al-Maidah: 78)
3)      Untuk memenuhi sifat mukmin sejati (Ali Imran: 104)
4)      Untuk membezakan diri dari golongan munafik ( At-Taubah: 31,67)
5)      Untuk mewarisi jalan Rasulullah s.a.w. (Ali Imran: 31, Yusof: 108)
6)      Untuk memastikan keutuhan Ummah ( Al-Maidah: 2)

HUBUNGAN DAKWAH DENGAN TUNTUTAN IMAN

Dakwah dijalan Allah terjumlah dari keimanan kepada 5 perkara:
1)      Dakwah merupakan salah satu dari tuntutan iman (Al-Ahzab: 72, Al-Hajj: 67)
2)      Dakwah sebagai bukti keimanan ( Al-Baqarah: 165, Al-Maidah: 54)
3)      Dakwah adalah syarat kesempurnaan Iman (Surah Al-Fussilat: 33)
4)      Dakwah menjadi benteng kepada Iman dari godaan syaitan (Al-A'raf: 27)
5)      Dakwah sebagai bekalan mengukuhkan Iman (Muhammad: 7, Al-Ankabut: 69)

KEDUDUKAN DAKWAH DARI SEGI HUKUM SYARA'

-          Allah s.w.t. memerintahkan umat Islam supaya sentiasa menjaga keimanan mereka daripada sebarang kelemahan yang boleh menggugat syahadah mereka terhadap Allah. Oleh kerana menjaga kesejahteraan Iman itu wajib dan salah satu cara terpenting untuk menjaganya adalah dengan melaksanakan dakwah di jalan Allah, maka tidak dapat tidak, melakukan dakwah itu sendiri adalah wajib. Ini kerana sekiranya dakwah itu tidak dijalankan maka manusia akan mudah dipengaruhi dan dipimpin oleh syaitan dan bala tenteranya.

-          Dalam surah Al-An'am ayat 116 ada menjelaskan bahawa orang-orang yang tidak berpegang kepada jalan Allah hanya mengikut persangkaan mereka belaka. Mereka tidak mengenal apa yang dinamakan makruf dan mungkar. Mereka juga tidak mempunyai kayu ukur yang jelas terhadap tingkah laku dan amalan mereka.

-          Oleh kerana kaum muslimin sahajalah yang mempunyai neraca yang membezakan perkara yang makruf dan mungkar, maka sudah tentulah tugas menyeru makruf dan mencegah mungkar terletak di bahu umat Islam. Tanggungjawab ini dengan sendirinya menjadikan tugas dakwah fardhu kepada orang-orang yang beriman. Hukum fardhu ini telah disepakati oleh para ulamak pada setiap zaman.


i)                    Fardhu Kifayah
Sebahagian besar ulama' Islam mengatakan bahawa melaksanakan dakwah ialah salah satu fardhu Kifayah ke atas masyarakat Islam, berdasarkan firman Allah:
"Dan hendaklah ada dikalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyeru kepada makruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang-orang yang beriman." (Ali Imran: 104)

Dari ayat di atas, mereka berpegang bahawa yang dituntut oleh syara' ialah sebahagian daripada umat Islam untuk melakukan kewajipan ini. Di mana dari ayat ini juga mereka mengqiaskan yang umum, iaitu amal makruf dan nahi mungkar dengan khusus, iaitu berperang dengan senjata. Apabila khusus itu hukumnya dalam keadaan biasa ialah fardhu kifayah, maka hukum yang umum, iaitu segala bentuk amal makruf dan nahi mungkar dalam pengertiannya juga adalah fardhu kifayah selagi mana tiada kerahan umum yang diisytiharkan oleh pihak pemerintah di dalam sebuah negara Islam.

ii)                  Fardhu Ain
Setengah-setengah ulama' mengatakan bahawa melaksanakan dakwah itu adalah fardhu Ain, mengikut kadar keupayaan. Para ulama' yang berpendapat bahawa dakwah itu fardhu Ain ke atas setiap muslim adalah kerana berdasarkan kepada hadith Rasulullah s.a.w.:
"Barangsiapa dari kamu melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangannya, apabila tiada kuasa maka dengan lidahnya, apabila tiada kuasa maka dengan hatinya dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman."(Muslim)

Mereka berperang bahawa firman Allah dalam surah Ali-Imran itu adalah sebagai bayan atau penjelasan dan bukan sebagai tab'id atau bertujuan untuk menunjukkan atas dua alasan ini:
  1.  Allah mewajibkan agar amar makruf dan nahi mungkar ke atas seluruh umat Islam berdasarkan firmannya dalam Ali-Imran:110
  2. Tidak akan dibebankan kecuali untuk membuat amar makruf nahi mungkar, baik dengan tangan, lisan dan hati. Bagi setiap orang pula wajib ia menolak dengan membawa mudharat atau kerosakan pada dirinya.

Yang lebih kuat antara dua pendapat ini adalah yang mengatakan dakwah adalah fardhu Ain ke atas setiap muslim menurut kadar keupayaannya. Ini kerana berdasar dua keadaan utama:
  1. Seorang muslim yang mendiamkan dirinya daripada menyebarkan sesuatu yang makruf dengan beranggapan ada orang lain yang telah melakukannya, mungkin akan meluputkan banyak kebajikan dari kumpulan kaum muslimin dan juga merupakan penyembunyian hidayah Allah sepertimana dalam Firman Allah, surah Al-Baqarah:159.

2.       Sikap berlengah-lengah dalam mencegah yang mungkar kerana bergantung kepada usaha orang lain akan membawa kepada keadaan yang lebih teruk sehingga tidak boleh dicegah lansung. Ianya ibarat penyakit kanser sehingga boleh membunuh sel-sel keimanan. Walaupun ada individu yang bangkit untuk mencegah kemungkaran, tanggungjawab ini sekali-kali tidak akan gugur sehinggalah ia menyaksikan sendiri bahawa usaha orang lain tersebut telah berjaya menghentikan atau menghalang kemungkaran itu.

CABARAN DALAM DAKWAH
1)      Cabaran Aqidah, Ideologi, dan Kebudayaan
2)      Cabaran Dalaman
3)      Cabaran Sosial
4)      Cabaran Ekonomi
5)      Cabaran Sebaran Am
6)      Cabaran Keselamatan dan Ketenteraan


KESIMPULAN :
Cabaran ke atas aqidah umat Islam khususnya mahasiswa kampus masa kini membuatkan tugas dakwah merupakan tugasan yang fardhu ain bagi setiap individu muslim yang memahami. Ianya terdiri daripada menyuruh yang makruf dan meninggalkan kemungkaran. Orang-orang yang beriman adalah mereka yang mentaati jalan yang ditunjukkan olah Rasulullah s.a.w. iaitu dengan tidak meninggalkan tugas dakwahnya dengan membiarkan kegelapan dan kesesatan menyelubungi hidup umat Islam.



ARTIKEL 04: KAEDAH DISIPLIN DALAM PERSATUAN ISLAM

Kalimah berDISIPLIN bererti seseorang itu melakukan sesuatu dengan teratur dan menurut perencanaan, patuh kepada peraturan, pandai mengurus masa serta menjaga ketepatan waktu.

TUNTUTAN DISIPLIN DALAM ORGANISASI

Anggota persatuan yang berdisiplin adalah penting seperti pentingnya kepemimpinannya juga. Maududi menulis:-

 "......sebuah gerakan, sekalipun mempunyai ciri ciri yang baik, menemui kegagalan hanya disebabkan oleh hakikat bahawa ia tidak dapat menterjemahkan skima skimanya ke bentuk praktik. Ini berpunca daripada ketiadaan disiplin dan kerjasama. Usaha usaha berdisiplin bermakna bahawa seluruh organisasi mesti mengikut prosedur serta peraturan yang telah ditetapkan olehnya."

  1. Seorang Muslim wajib beriltizam dengan arahan dan nizam (sistem) organisasi. Itu adalah perkara asasi dan perlu untuk kebaikan perjalanan amal dan usaha merealisasikan segala tujuan organisasi. Kesetiaan ini dipandang sebagai taat dan ibadah kepada Allah.
  2. Setiap anggota organisasi mesti membiasakan dirinya melaksanakan setiap perintah pemimpin atau ketuanya dalam persatuan. Dia mesti taat kepada pemimpin di waktu susah, senang, sama ada suka atau tidak, asalkan perkara yang tidak munkar dan tidak maksiat.
  3. Tentera da'wah wajib menjaga waktunya dengan bersungguh sungguh, berdisiplin dalam segenap urusannya dengan peraturan yang rapi, berguna kepada manusia, mampu berusaha, mujahid untuk dirinya, berwaspada dari godaan hartabenda, anak dan isteri. ".....tiap tiap anggota majlis itu mestilah bersungguh sungguh untuk menghadirkan dirinya pada waktu yang telah ditentukan dan tidak boleh lambat datang kecuali kerana tersangat terpaksa. Itupun dengan memberitahu alasan terlebih dahulu.

KELEMAHAN TANPA DISIPLIN.

Organisasi lemah dan lembab. gerak kerja terbengkalai dan da'wah tidak akan berkembang. Dan tidak tercapai matlamat dalam persatuan. Disiplin merupakan salah satu faktor (berkait dengan individu) yang menyebabkan para du'at gugur/tercicir di sepanjang jalan da'awah.

SEBAB KEMEROSOTAN DISIPLIN.
  1. Kemerosotan Iman.
  2. Menjadikan seseorang itu tidak sensitif terhadap pelaksanaan sesuatu tugas itu dengan segera. Salah satu kesan ialah tiada iltizam dengan waktu yang telah ditentukan untuk sesuatu perjumpaan ataupun waktu yang telah ditentukan untuk melaksanakan sesuatu kerja.
  3. Kemahuan yang lemah dan kurang Azam - Menyebabkan cepat berputus asa, mengalah serta mudah patah semangat.
  4. Masalah Peribadi.
  5. Penyakit lupa kepada arahan, peraturan, waktu pertemuan serta tugas, salah satu sebab mempunyai terlampau banyak tugas.
  6. Sikap Kurang Tegas Pemimpin.

KESIMPULAN.

Disiplin merupakan suatu amalan yang sangat penting dalam berpesatuan. Tanpanya persatuan sukar mencapai matlamatnya. Oleh itu pimpinan dan ahli-ahli persatuan perlulah mengambil berat persoalan ini agar lahir di sana sebuah organisasi yang terdiri daripada ahli ahli yang berdisiplin dan mampu memperjuangkan Islam sehingga tercapainya matlamat yang diidam idamkan InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment