kalamullah..

Wednesday, December 15, 2010

Bagaimana membentuk SINERGI..



Baru-baru ni, ada seorang junior minta penjelasan berkenaan apa itu sinergi. Maka, dengan semangatnya kita menjelaskan bahawa sinergi ni adalah gabungan ukhuwah bersama keimanan yang membentuk formula 1 + 1 = 3. Kenapa jadi 3?? 

Sebabnya sinergi la..


Kemudian terfikir lagi, mudah untuk dituturkan ukhuwah plus iman, tapi bagaimana kita nak realisasikannya dan orang lain pun jelas untuk sama- sama beramal. Kalau rajin membaca novel, boleh ikuti kisah-kisah dalam SINERGI tulisan Hilal Asyraf, banyak coretan yang menggambarkan betapa hebatnya kita jika mengaplikasikan sinergi dalam diri seseorang individu muslim.


Berbalik kepada soal ukhuwah melalui keimanan tadi, rasanya apa yang perlu kita lakukan, bagi sahabat-sahabat yang merasainya mungkin tidak bermasalah, tetapi jika sebaliknya mungkin bermasalah untuk mengamalkannya.


Mari kita mencari jawapan kepada persoalan bagaimana ukhuwah atas keimanan itu mampu di bentuk?
Jawapannya ialah proses tarbiyah Islamiah.


~ilham dari :langit Ilahi~
Iman yang diproses, iman yang tidak diproses
Keimanan itu hakikatnya perlu diproses untuk melahirkan keimanan yang berfungsi. Ramai manusia beriman, mempercayai kewujudan Allah SWT, mempercayai Rasulullah SAW, beriman kepada apa yang diperintahkan, dan beriman kepada apa yang dilarang. Beriman bahawa Islam adalah cara hidup yang hakiki. Beriman bahawa saudara dalam keimanan adalah ibarat saudara sendiri.
Tetapi keimanan ini memerlukan proses. Barulah keimanan itu mampu berfungsi. Barulah keimanan tadi mampu melahirkan ketaatan. Barulah keimanan tadi mampu menjauhkan diri kita daripada kemungkaran. Barulah ukhuwwah atas keimanan mampu direalitikan.
Proses itulah yang bernama Tarbiyah Islamiyyah.
Hal ini dibuktikan, dengan Rasulullah SAW menjalankan proses tarbiyah ini kepada para sahabatnya. Baginda bukan semata-mata Rasul yang membawa dakwah. Tetapi baginda juga adalah Rasul yang menjalankan tarbiyah. Ini dibuktikan apabila sesiapa yang beriman dengan baginda, akan dibawa menjalani proses tarbiyah.
Contoh proses tarbiyah yang dijalankan oleh Rasulullah SAW dalam hal ukhuwwah.
Contoh terbesar adalah apabila Rasulullah mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Ini adalah satu proses tarbiyah. Kebersamaan mereka, waktu-waktu mereka berkongsi susah senang bersama, waktu-waktu mereka perlu mengorbankan sebahagian harta dan kesayangan mereka untuk sahabat mereka, itu semua membina keeratan dan saling percaya mempercayai satu sama lain. Memperdalam ta’aruf dari sekadar mengenali nama kepada mengenali hati.
Itu belum dikira dengan di dalam peperangan mereka berkongsi makanan, ada satu kisah ketika para sahabat menggali parit Khandaq, ada seorang sahabat menawarkan kepada Rasulullah untuk memakan kambing kuah di rumahnya. Rasulullah mengajak seluruh 3000 orang sahabatnya berkongsi kambing kuah di dalam satu periuk.
Semestinya punya kesan yang mendalam.
Ditambah pula saat mereka bertemu lutut dan lutut ketika mengikuti majlis-majlis Rasulullah SAW, ketika mereka rapat-rapat duduk sehingga tiada sehelai daun mampu gugur ke bumi kerana rapatnya tubuh mereka saat mereka mendengar penyampaian Rasulullah SAW. Ini semua adalah tarbiyah.
Ditambah lagi dengan mereka duduk di satu tempat yang sama, saban hari berjumpa di Masjid An-Nabawi, menjalani kehidupan sebagai mukmin bersama-sama dan berjuang atas perjuangan yang sama. Berkongsi masalah dan sering saling ingat memperingati satu sama lain. Hinggakan apabila Abu Dzar Al-Ghifari bergurauan dengan Bilal bin Rabah dengan memanggilnya ‘anak hitam’, Rasulullah menegur bahawa padanya masih ada sisa jahiliyyah, Abu Dzar pantas merendahkan kepalanya ke tanah meminta Bilal memijaknya untuk membalas perbuatannya. Bilal tidak pula membalas, bahkan memaafkan.
Ini semua memperkukuhkan ukhuwwah mereka.
Menguatkan keimanan mereka.
Proses tarbiyah itulah yang diperlukan
Antara sedar dan tidak berlaku proses yang Nabi SAW gunakan sudah diaplikasikan kita dalam berukhuwah. Contoh paling mudah usrah, program-program yang menambahkan kefahaman Islam, perkhemahan dan sebagainya. Makan bertalam beramai-ramai, tidur tidak bertilam, inilah yang dinamakan proses. 
Proses inilah yang melahirkan ukhuwwah atas keimanan.
Melalui proses ini, keimanan itu diperkukuhkan. Menjalani proses itu bersama-sama, ukhuwwah itu muncul. Dengan keimanan yang telah diperkukuhkan tadilah, ukhuwwah itu dihargai.
Merasai bahawa sahabat itulah nyawa kita.
Menyebabkan bagaimana berbeza pun umur kami, kami tetap mampu bersama-sama.
Penutup: Hendak melahirkan ukhuwwah yang erat, proses tarbiyah adalah indikator utama
Berbeza dengan mereka yang tidak menjalani proses, ukhuwwah tidak akan mampu terbina atas keimanan yang mentah. Hal ini kerana, kepayahan yang dikongsi bersama sepanjang proses, kemanisan yang dirasai bersama sepanjang proses, adalah apa yang menyebabkan ukhuwwah itu menjadi dalam dan kukuh.
Proses ada pelbagai bentuk. Orang yang tidak mengambil proses tarbiyah Islamiyyah juga mampu mempunyai hubungan yang kuat.
Tetapi  tidak sekadar ‘kekuatan hubungan’ semata-mata, yang penting adalah ‘kekuatan hubungan yang membawa kita kepada Allah SWT dan ke Syurga’, yang itu, hanya mereka yang menjalani proses tarbiyah Islamiyyah sahaja yang mampu menghasilkannya.
Hingga terasa seakan-akan hati ini terikat dengan mereka. Kasih dengan mereka. Sayang dengan mereka. Cinta akan mereka. Tidak rela mereka dimakan oleh jahiliyyah. Sanggup berhabis wang, berkorban masa, hatta kalau diperlukan sanggup memberikan nyawa, agar dapat bersama mereka ke syurga. Hubungan ini menjadi bukan sekadar untuk berseronok bersama, berduka bersama. Tetapi menjadi hubungan yang mengimpikan masuk syurga bersama-sama.
Hingga melihat wajah mereka sudah mendapat kekuatan. Apatah lagi bersama-sama mereka dalam beramal. Memang tiada bandingan.
Semua ini adalah dengan proses tarbiyah.
Kalau bukan sebab kita ini lalui proses tarbiyah, mustahil kita seperti hari ini bukan?

No comments:

Post a Comment