kalamullah..

Sunday, November 21, 2010

Dagangannya sudah dibeli Allah..

Catatan Kembara Seorang As-Syahid

As-Syahid Fauzi Ismail merupakan anak muda Melayu yang telah monoreh sejarahnya yang tersendiri walaupun dilahirkan di negara yang sarat dengan pesta hiburan dan kebejatan akhlak anak-anak muda.

Menelusuri kisah perjalanan beliau memburu keredhaan Allah dan kesyahidan menyebabkan palong hati kita bergetar kesyahduan seterusnya tanpa sedar mengundang titik jernih mengalir di kedua-dua belahan mata kita.

Beliau mendapat didikan asas secara formal sehingga SPM dan menekuni fikrah perjuangan Islam daripada halaqah-halaqah ilmu secara tidak formal sehingga beliau merasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk mewakafkan diri beliau dalam perjuangan Islam sehingga Syahid. Fauzi merasa ditusuk sembilu tajam apabila membaca berita-berita daripada kolum akhbar tentang pembantaian dan pembunuhan umat Islam Afghanistan, semangat beliau juga bergelora dilambung dengan huraian tentang kelebihan jihad oleh para asatizah di jalan dakwah yang beliau sertai di tanahair.

Terlalu istimewa lelaki syurga ini untuk kita menatap sejarah hidup dan perjalannya. Seorang anak muda tipikal yang lahir dalam keluarga yang sederhana, meraih rezeki dengan berniaga secara runcitan di kedai kecilnya, manakala waktu terluang digunakan untuk mendalami ilmu agama dan fikrah harakiah. Keazamannya untuk mencari Redha Allah sangat luar biasa, bermotosikal meredah arus malam setiap malam untuk bertugas mengawal tapak muassasah, berkelana ke Perak untuk mencari biaya ke bumi Jihad, menjual keperluan hidupnya yang menjadi nadi kepada kehidupan beliau selama ini, kedai runcit dan motorsikal semata-mata untuk menampung kos perjalanan ke bumi Jihad.Fauzi yang digambarkan dalam memoir ini adalah pemuda yang sentiasa ceria menguntum senyuman, boleh “berlebih kurang” dengan teman-teman, tidak mementingkan diri demi melihat perjuangan Islam berjaya. Sebuah potret peribadi yang luhur bagi melengkapkan syarat peribadi sang daie dan pejuang.

Apabila membaca catatan memoir ini, kita akan merasa hanyut dalam gaya penceritaan yang bersahaja, cuma secara peribadi saya merasakan perlu banyak lagi sudut-sudut kehidupan Fauzi perlu disoroti oleh penulis bagi mengukuhkan jalan cerita. Mungkin ada kebimbangan melebarkan jalan cerita memoir ini bermakna membuka ruang para mujahidin dizalimi oleh regim umat Islam dan inilah hambatan terbesar Cikgu Non untuk melengkapkan gambaran penuh memoir ini.

Apapun memoir ini akan mengingatkan kita kepada kekentalan jiwa seorang pemuda Melayu yang sanggup berdada dengan musuh. Secara luarannya tidak ada yang istimewa dengan anak muda ini. Lulusan SPM dari sekolah menengah harian biasa, bekas buruh pembinaan di Singapura, tidak menguasai bahasa Arab, anak kampung yang sederhana, namun beliau telah kembali menghadap Allah SWT dengan seni kematian yang sangat mulia. Fauzi dilahirkan dalam keluarga yang sangat cinta kepada agama, ibu dan bapanya sangat istiqomah dengan amalan wajib disamping amalan-amalan sunat seperti berpuasa sunat dan membaca Al Quran. Dengan latarbelakang keluarga sebeginilah yang telah mencorakkan keperibadian Fauzi.

Menemui Allah dengan kesyahidan adalah cita-cita setiap Muslim dalam rangkuman doa kita setiap kali bersimpuh, menitip doa pada Allah supaya dimatikan sebagai syuhada (berapa ramai pula yang berbohong ketika meluncurkan kalimah doa ini kerana memperjuangkan berhala sekularisme pragmatis dan menentang Syariat Islam).Anak muda bernama Fauzi Ismail ini sentiasa merasa curiga dengan kemewahan hidup dan kebahagiaan perkahwinan kerana merasa bimbang diri beliau akan gugur dalam perjuangan. Keinginan beliau begitu membuncah untuk melihat kemenangan Islam di tanahair, bumi leluhur yang menyimpan uri-uri beliau, merasa kepedihan dan kesakitan yang mendalam apabila mendengar umat Islam yang disakiti dan dibantai oleh musuh Islam.Beliau merasa bersalah yang amat sangat jika tidak tampil membantu umat Islam yang sedang diterjah oleh kafir di bumi Afghanistan.

Fauzi adalah jelmaan generasi muda para sahabat yang sanggup meninggalkan keseronokan dunia yang menyihir mata hati anak-anak muda. Beliau permata di tengah lumpur hitam arus hedonisme yang dirancang oleh musuh IslamBeliau muncul pada akhir zaman yang terpisah jauh dengan generasi Al-Quran yang telah melahirkan manusia hebat seperti Mus’ab bin Umair, pembawa panji Islam di medan Uhud yang akhirnya gugur sebagai syuhada’, Abdullah bin Abi Rawahah sang penyair Islam bergelatakan syahid di medan Mut’ah, Jaafar Abi Talib berkelana ke syurga dengan kedua-dua belah tangannya dipotong musuh. Hanzalah bin Abu Amir syahid dengan meninggalkan isteri yang baru disentuhi. Fauzi telah meletakkan namanya dalam senarai panjang syuhada di sepanjang zaman yang tidak akan dimungkiri janji oleh Rabbul Izzati:

Di antara orang-orang Yang beriman itu, ada Yang bersikap benar menunaikan apa Yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada Yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada Yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (Apa Yang mereka janjikan itu) sedikitpun. ( Surah Al-Ahzab : 23 )

Fauzi adalah cerminan kepada potret kehidupan kita hari ini, saat menelusuri sejarah perjuangan hidup kita seolah-olah mengejek diri kita sendiri yang semakin di lambung badai kecintaan kepada kehidupan dunia, kecintaan pada rumah agam, kenderaan yang berprestij, anak pinak semakin membusung dalam palong hati kita.

Ukhuwwah Islamiyyah mula menjadi mainan bibir tanpa makna- kosong. Sekosong bekas hati kita yang mula menjauhi jihad. Istilah jihad mula menjadi stigma yang menakutkan malah terasa ia akan memenggal keseronokkan hidup daripada kita. Alangkah kerdilnya jiwa kita saat Ummah memerlukan para daie dan pejuang yang sanggup berselut lumpur di medan masyarakat, membasmi kejahilan dan buta agama .Kita menari dengan gendang yang dipalu oleh musuh, apabila musuh menyamakan jihad dengan keganasan (terrorisme) maka kita diam termanggu. Terminologi jihad mula diselewengkan dan dikaburkan oleh kuffar dan munafik lantas kita terseret dengan cuba mewajahkan diri kita dengan “kesederhanaan”.

Semangat Fauzi akan terus menyala dalam sanubari kita, memadam api kecintaan pada hidup, mencairkan salju kemalasan berjuang, menyentak seluruh lamunan dan khayalan yang berwarna-warni, menyahalir seluruh toksid kemunafikan dalam aliran darah. Jika ada generalisasi bahawa orang Melayu penakut maka tanggapan mereka silap kerana Fauzi dan teman—temannya sanggup berdada dengan musuh, kuasa besar dunia, ribuan batu jauh dari tanahair. Dia berkelana ke alam abadi dalam burung-burung hijau di taman-taman syurgawi saat ribuan anak-anak muda Melayu yang lain mati bergeletakan di atas aspal basah dalam perlumbaan haram, ribuan yang lain mati dengan darah tersalir dengan virus HIV atau terenjat saraf akibat pengambilan dadah yang berlebihan.Roh Fauzi sedang menatap wajah dunia Islam yang suram, yang menyaksikan darah merah tumaph dimana-mana; Palestin, Lubnan, Iraq, Kashmir, Selatan Thailand, Mindanao, Ambon dan Kosova.

Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: “Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah”, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka Dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding Dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah – membela ugamanya), Allah akan menyeksa kamu Dengan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya dan ia akan menggantikan kamu Dengan kaum Yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka Sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, Iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di Dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah Engkau berdukacita, Sesungguhnya Allah bersama kita”. maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya Dengan bantuan tentera (malaikat) Yang kamu tidak melihatnya. dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah Dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah Yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada Dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun Dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah Dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.( Surah At- Taubah : 38-41)

Rohnya sedang beristirehat di taman-taman syurga dengan jutaan keindahan yang mengasyikkan.

No comments:

Post a Comment