kalamullah..

Sunday, November 21, 2010

Cheng Ho: Bukti Islam Untuk Semua..



Oleh: Mohamed Zainal Abidin Hussin (harakah daily)   
KOTA BHARU, 20 Nov: Cheng Ho perlu dikenang sebagai ikon penting dalam sejarah manusia yang
menjadikan perjuangan untuk keamanan dan kemakmuran bersama jauh mengatasi kepentingan puak
dan bangsa.


Pengerusi Ekspo Cheng Ho yang sedang berlangsung di Kota Bharu, Datuk Husam Musa berkata watak
besar dari China ini akan pasti dikenang kerana jasanya dalam memperkenalkan nilai persahabatan
dan kebajikan yang membelakangkan persoalan puak, agama dan keturunan dalam membangunkan
tamadun.
"Cheng Ho yang mewakili kerajaan China yang amat berkuasa pada zamannya sentiasa merendah diri
dengan memberi hadiah, membawa khidmat perubatan dan mengajak berkongsi teknologi baru dengan
raja-raja dan rakyat yang dilawatinya di seluruh dunia," kata beliau ketika menutup Seminar Cheng Ho
dan penyebaran Islam di Asia Tenggara di Balai Islam Lundang, hari ini.
Seminar sehari itu menampilkan Prof Tan Ta Sen (Singapura), Prof. Hum Sin Hoon dan Mr. Zheng
Zi Hai membentangkan kertas kerja masing-masing, manakala Prof. Madya Obaidellah Mohamad bertindak
sebagai moderator.
Menurut Husam, semangat Cheng Ho perlu disuburkan semula dalam situasi masyarakat Malaysia yang
dibina dengan kecurigaan perkauman selama berpuluh-puluh tahun.
"Kita mahu membina masyarakat baru, yang bersatu atas nilai-nilai tinggi, mengutamakan kebenaran,
kebajikan, perkongsian dan semangat tolong menolong dan meninggalkan konsep mengapi-apikan
perkauman sempit," ujarnya.
Bangsa, kata beliau memang sesuatu yang tidak mungkin hapus, namun asas persahabatan perlu dibina
dengan asas yang lebih kukuh sebagaimana ditunjukkan oleh Cheng Ho.
"Cheng Ho beragama Islam, dia boleh berkhidmat memimpin armada milik maharaja China yang bukan
Islam dan mengendalikan puluhan ribu angkatan laut yang memiliki pelbagai latarbelakang.
"Situasi ini tidak mungkin terjadi jika kita terbawa-bawa dengan pemikiran sempit perkauman
dan tidak mengutamakan persahabatan dan kepentingan bersama," ujar beliau.
Ekspo Cheng Ho kata beliau, bukan sekadar mendominasi urusan perniagaan dan perdagangan
tetapi juga meliputi pertukaran budaya dan pendidikan.
"Pelbagai pertunjukan tempatan dan antarabangsa di bawa bersama ekspo ini bagi menunjukkan
mereka yang memiliki keyakinan diri yang tinggi mampu menjulang kecemerlangan dalam apa
jua bidang," katanya.
Beliau turut mengumumkan beberapa pihak di negara China telah bersetuju untuk mengadakan
program pertukaran pelajar dengan Kelantan.
"Kita telah diberi beberapa tempat untuk belajar di beberapa pusat pengajian dengan pembiayaan
sepenuhnya oleh masyarakat di sana," tambah beliau.

No comments:

Post a Comment